4 Langkah Penjagaan Selepas Bersalin Caesarean yang Penting
Penjagaan selepas bersalin caesearean (C-section) amat penting untuk kesihatan ibu di Malaysia.
Apakah Bersalin Caesarean?
Pembedahan caesarean (atau dikenali sebagai C-section) ialah prosedur pembedahan di mana bayi dilahirkan melalui insisi (potongan) pada perut dan rahim ibu, berbanding kelahiran normal melalui faraj.
Ia biasanya dilakukan apabila kelahiran secara semula jadi dianggap berisiko kepada ibu atau bayi. Antara sebab-sebabnya termasuk:
- Kedudukan bayi yang songsang (breech).
- Kelahiran berganda (kembar).
- Masalah kesihatan ibu seperti tekanan darah tinggi atau diabetes.
- Bayi yang terlalu besar untuk dilahirkan secara normal.
- Masalah dengan tali pusat atau plasenta.
Caesarean boleh dirancang atau dilakukan secara kecemasan bergantung kepada keadaan ibu dan bayi semasa proses kelahiran.
Pemulihan selepas pembedahan ini memerlukan penjagaan khas kerana luka pada perut dan rahim perlu sembuh dengan baik.
Jom ketahui lebih lanjut.
Langkah Penjagaan Bersalin Caesarean
Antara penjagaan yang wajib ibu-ibu ketahui untuk kembali sihat dengan lebih cepat dan selesa, adalah;
1 Penjagaan Luka Pembedahan
Luka selepas bersalin caesarean biasanya memerlukan masa antara 6 hingga 8 minggu untuk sembuh sepenuhnya.
Namun, penjagaan rapi perlu dilakukan bagi mengelakkan jangkitan dan komplikasi.
Bersihkan Luka dengan Betul
Pastikan luka sentiasa kering dan bersih. Gunakan air bersih dan sabun antiseptik yang lembut untuk mencuci kawasan sekitar luka, tetapi elakkan menggosok atau merendam luka.
Selepas mencuci, keringkan kawasan tersebut dengan tuala lembut secara menepuk perlahan-lahan.
Periksa Tanda-tanda Jangkitan
Selalu periksa luka anda. Tanda-tanda seperti kemerahan, bengkak, atau nanah adalah petunjuk jangkitan.
Sekiranya terdapat sebarang gejala seperti demam atau rasa sakit yang luar biasa di kawasan luka, segera dapatkan rawatan perubatan.
Pilih Pakaian yang Sesuai
Gunakan pakaian longgar dan selesa yang tidak menekan bahagian perut untuk mengelakkan geseran atau ketidakselesaan pada luka.
Bahan seperti kapas lebih sesuai kerana ia lembut pada kulit.
2 Pemakanan yang Membantu Pemulihan
Pemakanan yang betul memainkan peranan penting dalam mempercepatkan penyembuhan selepas bersalin caesarean.
Makanan berkhasiat dapat memperkuatkan sistem imun dan mempercepatkan pemulihan luka.
Makanan Kaya Protein
Protein adalah elemen penting dalam proses penyembuhan tisu.
Makanan seperti ayam, ikan, telur, dan kekacang yang kaya dengan protein membantu membaiki sel-sel tubuh dan mempercepatkan pemulihan luka.
Sayuran Hijau dan Buah-buahan
Sayur-sayuran hijau seperti bayam dan kangkung kaya dengan zat besi dan vitamin yang membantu meningkatkan pengeluaran sel darah merah.
Manakala buah-buahan seperti oren dan epal kaya dengan vitamin C untuk mempercepatkan penyembuhan luka.
Minum Banyak Air
Penghidratan yang baik membantu dalam pengeluaran susu badan dan memastikan badan berfungsi dengan lebih efisien.
Ibu-ibu yang bersalin caesarean juga perlu memastikan mereka minum sekurang-kurangnya 8 gelas air sehari untuk membantu proses pemulihan.
3 Senaman Ringan Selepas Caesarean
Walaupun ibu yang bersalin caesarean memerlukan lebih banyak masa untuk berehat, melakukan senaman ringan yang betul boleh membantu mempercepatkan pemulihan dan mengembalikan kekuatan otot.
Mulakan dengan Pergerakan Mudah
Dalam minggu pertama, anda boleh mula dengan pergerakan mudah seperti berjalan perlahan-lahan di dalam rumah. Ini bukan sahaja membantu meningkatkan aliran darah, tetapi juga mengurangkan risiko darah beku.
Elakkan Mengangkat Benda Berat
Walaupun anda rasa boleh melakukan rutin biasa, elakkan mengangkat benda berat selama sekurang-kurangnya 6 minggu.
Ini termasuk mengangkat anak anda jika mereka lebih berat daripada bayi baru lahir.
Sebaiknya, dapatkan bantuan daripada ahli keluarga atau pasangan anda.
Latihan Pernafasan dan Pelvic Floor
Latihan pernafasan dalam dan senaman untuk lantai pelvis (pelvic floor) membantu dalam proses pemulihan otot abdomen yang cedera akibat pembedahan.
Mulakan dengan menarik nafas dalam-dalam melalui hidung, kemudian hembus perlahan-lahan melalui mulut sambil mengencangkan otot perut.
4 Penjagaan Emosi Selepas Pembedahan
Pemulihan fizikal selepas caesarean adalah penting, tetapi jangan abaikan kesihatan mental dan emosi anda.
Banyak ibu-ibu mengalami perubahan emosi yang signifikan selepas bersalin, terutamanya apabila berdepan dengan cabaran pemulihan pembedahan.
Ambil Masa untuk Diri Sendiri
Berikan diri anda masa untuk berehat dan menyesuaikan diri dengan perubahan baru dalam hidup.
Jangan tergesa-gesa untuk kembali kepada aktiviti harian. Jika anda merasa penat, luangkan masa untuk berehat.
Dapatkan Sokongan
Berbual dengan suami, keluarga, atau kawan-kawan mengenai apa yang anda rasakan boleh membantu mengurangkan tekanan.
Jangan segan untuk meminta bantuan, terutamanya dalam menguruskan bayi atau kerja rumah.
Hubungi Pakar Sekiranya Perlu
Sekiranya anda merasa sedih atau cemas untuk tempoh yang panjang, pertimbangkan untuk berbincang dengan pakar.
Sokongan daripada kaunselor atau pakar kesihatan mental boleh membantu anda mengatasi sebarang cabaran emosi.
Elakkan Perkara-perkara Ini Selepas Bersalin Caesarean
Penjagaan selepas bersalin caesarean memerlukan disiplin dalam mengelakkan beberapa aktiviti yang boleh membahayakan kesihatan.
Antara perkara yang wajib dielakan, adalah;
- Jangan Makan Makanan Awet: Makanan seperti ikan masin dan sardin boleh menyebabkan alergik atau kulit gatal yang boleh menganggu proses penyembuhan luka.
- Jangan Memandu Terlalu Awal: Tunggu sekurang-kurangnya 4 hingga 6 minggu sebelum mula memandu. Memandu terlalu awal boleh memberikan tekanan kepada otot perut.
- Elakkan Mandi Tab atau Kolam: Walaupun berendam untuk bersantai, elakkan terlebih dahulu sehingga luka sembuh sepenuhnya bagi mengelakkan risiko jangkitan.
Kesimpulannya
Penjagaan selepas bersalin caesarean memerlukan kesabaran dan penjagaan yang rapi.
Disiplin dan kepatuhan adalah sangat penting bagi menjaga kesihatan ibu dan bayi yang baru di lahirkan.
Semoga langkah penjagaan bersalin pembedahan ini dapat membantu ibu-ibu sembuh dengan lebih cepat.
Baca Juga: